PERAK: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, telah diberi penghormatan untuk melihat secara dekat aset pertahanan maritim negara sempena lawatan rasmi ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, di sini, hari ini.
Lawatan tersebut merangkumi tinjauan ke beberapa fasiliti utama di sekitar Pangkalan TLDM Lumut, termasuk kawasan operasi di Jeti Operasi Advanced Mission Support Ship (AMSS) dan Kapal KD Indera Sakti yang dijadual belayar ke India keesokan harinya bagi menyertai Major 2026 Indian Navy Events (MILAN/IFR) di Visakhapatnam, India.
Dalam kesempatan itu, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah mendengar taklimat ringkas daripada Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain, berkaitan keupayaan operasi serta peranan aset TLDM dalam mempertahankan keselamatan perairan negara.
Turut serta ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan selaku Menteri Pengiring, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama isteri Datin Sri Zuraini Abdul Jaabar, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Badarudin Taha dan Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato’ Baharudin Wan Md Nor.
Sebagai simbolik lawatan, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah meluangkan masa merakamkan gambar kenangan bersama dif-dif kenamaan dan anak-anak kapal KD Indera Sakti, yang diketuai Kapten Ananthan Tharmalingam.
Terdahulu, lawatan rasmi tersebut dimulakan dengan upacara Kawalan Kehormatan Utama di Markas Armada Barat sebagai tanda penghormatan tertinggi kepada Tun Wan Junaidi, sebelum pergi ke Istana Hinggap Sultan Selangor (Jugra) bagi menyempurnakan acara menandatangani buku lawatan rasmi serta mendengar sesi taklimat operasi TLDM.
Press Release, 01 February 2026
KUCHING: Suasana meriah dan penuh kehangatan mewarnai Sambutan Hari Lahir Peribadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang diraikan menerusi majlis makan malam istimewa di atas Royal Cruise, Waterfront Kuching, pada Ahad. Majlis makan malam istimewa itu diserikan dengan kehadiran Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar serta tetamu kenamaan lain. Sebaik Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah tiba kira-kira jam 8.30 malam, Royal Cruise mula menyusuri Sungai Sarawak sekali gus memberi peluang kepada para tetamu menikmati panorama indah bandar raya Kuching pada waktu malam. Majlis dimulakan dengan bacaan doa sebelum para tetamu menikmati jamuan makan malam dalam suasana santai namun penuh beradat. Acara kemuncak diserikan dengan upacara memotong kek sempena hari lahir Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi. Turut dipersembahkan ialah tayangan video khas yang mengimbau perjalanan kehidupan serta sumbangan Yang di-Pertua Negeri Sarawak kepada negeri dan rakyat sepanjang perkhidmatan baginda. Selain itu, persembahan sajak istimewa oleh Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi turut menyentuh perasaan dan mencuit emosi para tetamu yang hadirnsekali gus menambah kehangatan suasana majlis. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar sebelum Yang di-Pertua Negeri Sarawak bersama isteri berangkat meninggalkan majlis.- EDISI UKAS
Press Release, 11 February 2026
PERAK: Hari pertama lawatan rasmi Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi ke Markas Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, di sini, pada Isnin, diserikan dengan Majlis Ramah Mesra bersama Anak-Anak Sarawak TLDM yang berlangsung di Dewan M. Sidek Shabudin. Majlis berkenaan menjadi wadah interaksi antara TYT Sarawak dan isteri bersama warga TLDM asal Sarawak, yang sedang berkhidmat serta menetap di pangkalan tersebut, dalam suasana penuh mesra dan harmoni. Dalam majlis sama, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah berkenan menyampaikan hadiah kepada 10 pelajar cemerlang, selain sumbangan kepada 10 orang pesakit kronik dalam kalangan mereka. Turut serta ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak selaku Menteri Pengiring, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama isteri Datin Sri Zuraini Abdul Jaabar, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain bersama isteri Puan Sri Zamzelina Ahmad, Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Badarudin Taha bersama isteri Datin Noriah Sahlan dan Panglima Armada Barat Laksamana Madya Dato’ Baharudin Wan Md Nor bersama isteri Datin Shafiqah Ismail. Suasana majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian oleh anggota TLDM, di samping jamuan makan tengah hari yang disediakan kepada para hadirin. Sejurus selepas itu, TYT Sarawak serta isteri meneruskan lawatan ke Bangunan 102, Lumut Naval Shipyard (LUNAS). Dalam lawatan tersebut, Pegawai Eksekutif LUNAS, Azhar Jumaat, telah berkongsi maklumat berkaitan proses pembinaan serta perkembangan semasa Kapal Tempur Pesisir (LCS), termasuk kemajuan projek Kapal Tempur Pesisir 3 (LCS 3) TLDM. TYT Sarawak dan isteri kemudiannya berkenan mengunjungi galeri pameran bagi meninjau replika bersaiz besar Kapal Tempur Pesisir yang dihasilkan menggunakan permainan Lego, sebelum mengakhiri atur cara lawatan rasmi hari pertama. Keesokan hari, Upacara Penamaan dan Pelancaran Kapal Tempur Pesisir 3 (LCS 3) TLDM dijadualkan berlangsung di Limbungan LUNAS yang akan disempurnakan oleh Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi selaku 'Lady Sponsor', disaksikan oleh Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi. Terdahulu, lawatan rasmi tersebut dimulakan dengan upacara Kawalan Kehormatan Utama di Markas Armada Barat sebagai tanda penghormatan tertinggi kepada TYT Sarawak, sebelum berangkat ke Istana Hinggap Sultan Selangor (Jugra) bagi menyempurnakan acara menandatangani buku lawatan rasmi serta mendengar sesi taklimat operasi TLDM, disusuli tinjauan ke beberapa fasiliti utama di sekitar Pangkalan TLDM Lumut, termasuk kawasan operasi di Jeti Operasi Advanced Mission Support Ship (AMSS) dan Kapal KD Indera Sakti. -EDISI UKAS
Press Release, 11 February 2026
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang hari ini bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-271 di Istana Negara. Tun Pehin tiba bersama isterinya Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi kira-kira jam 3.10 petang selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh. Ketibaan Tun Pehin Sri dan Toh Puan, diiringi Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Seni Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, bersama isteri, Datin Sri Zuraini Abdul Jabbar. Rombongan Tun Pehin telah disambut mesra oleh pegawai-pegawai kanan Pejabat Yang di-Pertua Negeri Sarawak serta Pejabat Perhubungan Rumah Sarawak, Kuala Lumpur. Tun Pehin Sri dijadualkan menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-271 di Istana Negara pada 11 hingga 12 Februari ini.
Press Release, 10 January 2026
KUCHING, 10 Januari – Kehadiran isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Fauziah Mohd. Sanusi, memeriahkan Majlis Perasmian Penutupan Pesta Bubur Pedas Sarawak 2026 di Metrocity Matang, Kuching hari ini. Program anjuran Koperasi Perkumpulan Wanita Sarawak Berhad (KOPERWANIS) dan Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) dengan kerjasama Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS) Universiti Teknologi MARA Cawangan Sarawak, bertujuan memartabatkan bubur pedas sebagai warisan kulinari ikonik negeri Sarawak. Toh Puan Fauziah turut meluangkan masa menyediakan bubur pedas dan beramah mesra bersama ahli KOPERWANIS serta peserta, mencerminkan keprihatinan beliau terhadap usaha memperkasa wanita dan ekonomi komuniti setempat. Penganjuran pesta itu bukan sahaja memelihara warisan makanan tradisional, malah menjadi platform memperkukuh jaringan usahawan wanita serta memperkasa peranan mereka dalam pembangunan sosioekonomi negeri. Para pelajar juga berpeluang memperoleh pengalaman dalam pengurusan komuniti, kerja lapangan, dan tanggungjawab sosial menerusi penglibatan dalam program berkenaan. Turut diadakan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan bumbu bubur pedas, pertandingan masakan tradisional, serta pertandingan mewarna untuk warga emas dan kanak-kanak. Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.
Press Release, 11 February 2026
PERAK: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, telah diberi penghormatan untuk melihat secara dekat aset pertahanan maritim negara sempena lawatan rasmi ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, di sini, hari ini. Lawatan tersebut merangkumi tinjauan ke beberapa fasiliti utama di sekitar Pangkalan TLDM Lumut, termasuk kawasan operasi di Jeti Operasi Advanced Mission Support Ship (AMSS) dan Kapal KD Indera Sakti yang dijadual belayar ke India keesokan harinya bagi menyertai Major 2026 Indian Navy Events (MILAN/IFR) di Visakhapatnam, India. Dalam kesempatan itu, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah mendengar taklimat ringkas daripada Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain, berkaitan keupayaan operasi serta peranan aset TLDM dalam mempertahankan keselamatan perairan negara. Turut serta ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan selaku Menteri Pengiring, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama isteri Datin Sri Zuraini Abdul Jaabar, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Badarudin Taha dan Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato’ Baharudin Wan Md Nor. Sebagai simbolik lawatan, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah meluangkan masa merakamkan gambar kenangan bersama dif-dif kenamaan dan anak-anak kapal KD Indera Sakti, yang diketuai Kapten Ananthan Tharmalingam. Terdahulu, lawatan rasmi tersebut dimulakan dengan upacara Kawalan Kehormatan Utama di Markas Armada Barat sebagai tanda penghormatan tertinggi kepada Tun Wan Junaidi, sebelum pergi ke Istana Hinggap Sultan Selangor (Jugra) bagi menyempurnakan acara menandatangani buku lawatan rasmi serta mendengar sesi taklimat operasi TLDM.