KUCHING: Kepimpinan negeri dan institusi agama terus berganding tenaga memperkukuh usaha dakwah, pendidikan serta kebajikan masyarakat Islam di Sarawak. Menerusi pertemuan antara Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dengan Al Habib Ali Zainal Abidin Al Hamid bersama wakil Persatuan Kebajikan Mahabbah Kuching, pelbagai pandangan dan idea dikongsi. Tun Wan Junaidi berkata, perkembangan Islam di Sarawak berlangsung dengan aman dan bijaksana. “Ini merupakan hasil pandangan jauh para ulama terdahulu yang menekankan nilai kasih sayang, ilmu pengetahuan dan akhlak mulia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi. Beliau turut berkongsi pandangan mengenai sejarah Sarawak yang bermula dengan era pemerintahan Brooke pada tahun 1840-an. “Pun begitu, sejarah Sarawak sebenarnya telah bermula berabad-abad lebih awal. “Ini termasuk kewujudan Kerajaan Banting di kawasan Lingga, Simanggang yang diasaskan oleh Sharif Agil bin Sharif Yassin,” ujarnya. Selain itu, pertemuan tersebut turut memperlihatkan perkongsian pendapat mengenai peranan institusi agama dan komuniti dalam memupuk pembangunan rohani.
“Ini bagi memperluas jaringan kebajikan dan meningkatkan kualiti hidup umat Islam. “Selain itu, fungsi baitulmal dan zakat dalam memperkasa ekonomi Islam, pengurusan sumber manusia berteraskan nilai Islam serta kepentingan pendidikan agama sebagai asas pembentukan generasi muda turut dibincangkan,” jelasnya. Tun Wan Junaidi turut merakamkan penghargaan atas kunjungan tersebut.
“Saya mendoakan agar segala usaha dalam bidang dakwah, pendidikan dan kebajikan yang dipimpin para ulama serta organisasi Islam di Sarawak terus diberkati Allah SWT. “Semoga ia membara manfaat berpanjangan kepada kesejahteraan ummah dan keharmonian negeri,” katanya. Dalam pada itu, kunjungan berkenaan diadakan bersempena Majlis Maulid Akbar 3.0 Sarawak yang meraikan kelahiran Nabi Muhammad SAW melalui bacaan selawat, tausiyah dan sesi perkongsian ilmu oleh para ulama terkenal. Majlis tersebut berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada 25 Oktober lalu.