Tun Wan Junaidi dilantik sebagai Bencher pertama ICM

Posted on 04 Aug 2025
Source of News: Utusan Borneo

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah dilantik secara rasmi sebagai Bencher pertama bagi Inns of Court Malaysia (ICM), sekali gus menjadikannya individu pertama menerima penghormatan tertinggi daripada institusi perundangan tersebut.

Tun Wan Junaidi menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas pengiktirafan tersebut yang dianggap sebagai penghormatan terhadap sumbangan beliau dalam dunia perundangan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam penganugerahan ini. “Pelantikan saya sebagai Bencher pertama ICM merupakan satu penghormatan besar yang saya terima dengan penuh rasa rendah diri,” katanya pada Majlis Makan Malam ICM sempena Istiadat Penganugerahan 'Bencher' sulungnya di sini, malam Sabtu.

Mengimbau kembali pengalamannya semasa memegang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Tun Wan Junaidi berkongsi kejayaan meminda Perlembagaan Persekutuan sebanyak tiga kali, pencapaian yang disifatkannya sebagai sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.

“Perkara itu tidak pernah dilakukan sebelum ini. Ia menjadi detik bersejarah kerana undang-undang yang saya bawa ke Parlimen memerlukan pindaan terhadap Perlembagaan bagi membolehkan ia dikuatkuasakan,” ujarnya.

“Salah satunya ialah undang-undang anti-lompat parti. Saya bertegas supaya peruntukan itu dimasukkan terus dalam Perlembagaan dan bukannya sekadar akta biasa, supaya ia tidak mudah diubah hanya dengan majoriti mudah di Parlimen,” jelasnya.

Menurut beliau, pindaan itu dilakukan mengikut Perkara 159(3) Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan mana-mana pindaan perlembagaan perlu mendapat sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Pindaan kedua katanya, adalah mengiktiraf Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) secara rasmi dalam Perlembagaan. 

Menurut Wan Junaidi, walaupun MA63 sering disebut dalam wacana umum, ramai tidak memahami bahawa perjanjian itu sebelum ini tidak diiktiraf secara sah dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Perjanjian yang ditandatangani pada 9 Julai 1963 itu hanya dua muka surat dan dua klausa. 

“Namun ia turut melibatkan dokumen penting lain seperti Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Laporan Suruhanjaya Cobbold,” tegasnya.

Jelasnya, ketiadaan pengiktirafan MA63 selama lebih 58 tahun menyebabkan Sabah dan Sarawak tidak mempunyai asas kukuh untuk menuntut pelaksanaan hak-hak yang termaktub dalam perjanjian tersebut.

Pindaan ketiga pula jelasnya, melibatkan perubahan terhadap Perkara 161A Perlembagaan yang mengembalikan kuasa penentuan status ‘anak negeri’ kepada Kerajaan Sarawak.

Langkah tersebut menurutnya, penting dalam mengekalkan kedaulatan tempatan berhubung isu berkaitan hak dan identiti penduduk peribumi.

Selain tiga pindaan utama itu, Tun Wan Junaidi turut memainkan peranan penting dalam menghidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen, yang telah dimansuhkan pada 1992.

Usaha itu ujarnya, merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk memperkasa institusi Parlimen dan memulihkan kebebasan pentadbiran badan perundangan negara.



Newspaper

Copyright © 2025 Astana Negeri Sarawak
Last Updated On 09 Oct 2025

Operating Hours

Monday - Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5:00pm

Friday
8:00am to 11.45am & 2:15pm to 5:00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Office Closed
image Polls
image Announcement