KUCHING, 25 Mac: Sempena sambutan Hari Polis ke-218, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas sumbangan dan pengorbanan mereka dalam memastikan keselamatan serta keamanan negara terus terpelihara.
Dalam kenyataan Astana Negeri Sarawak hari ini, beliau menegaskan bahawa Hari Polis bukan sekadar sambutan, tetapi satu penghormatan kepada jasa pasukan keselamatan yang sentiasa bersiap siaga menghadapi cabaran demi kesejahteraan rakyat.
Bagi beliau, sambutan ini juga mempunyai nilai sentimental kerana beliau sendiri pernah menyertai PDRM pada tahun 1964 sebelum berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) dari tahun 1968 hingga 1973.
Mengimbau kembali pengalamannya, beliau pernah bertugas di Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM), sebuah zon operasi utama ketika era darurat di Sarawak dalam usaha membanteras ancaman komunis.
Menurutnya, pengalaman tersebut memberikannya kefahaman mendalam tentang pengorbanan yang dilakukan oleh setiap anggota polis, khususnya mereka yang berkhidmat di kawasan berisiko tinggi.
“Saya pernah berada di barisan hadapan sebagai anggota Polis Hutan, bertugas dalam keadaan penuh cabaran dan risiko demi memastikan negeri dan negara kita bebas daripada ancaman keselamatan.
“Mereka yang pernah berkhidmat dalam PPH dan RASCOM tahu betapa besarnya pengorbanan yang perlu dilakukan, meninggalkan keluarga dan menghadapi pelbagai ancaman demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Tun Dr. Wan Junaidi turut menegaskan bahawa keamanan negara yang dinikmati hari ini adalah hasil usaha gigih serta pengorbanan berterusan pasukan keselamatan.
Justeru, beliau menyeru agar masyarakat memberikan sokongan padu kepada PDRM, sejajar dengan tema sambutan tahun ini, “Polis dan Masyarakat: Keselamatan Bersama.”
“Setiap anggota polis, sama ada yang bertugas di bandar, di sempadan mahupun di pedalaman, memainkan peranan penting dalam memastikan keamanan negara terus terpelihara. Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk menyokong dan menghargai jasa mereka,” tambah beliau.
Mengakhiri ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga PDRM, khususnya mereka yang masih bertugas di lapangan.
“Kepada seluruh pasukan PDRM, saya mengucapkan ribuan terima kasih atas segala pengorbanan yang telah dicurahkan. Negara ini berhutang budi kepada anda semua. Selamat menyambut Hari Polis ke-218,” kata Tun Wan Junaidi. – TVS