YANG DI-PERTUA NEGERI SARAWAK DAN ISTERI ZAHIR PESANAN MENGHARGAI KEPELBAGAIAN SEMPENA HARI DEEPAVALI

Posted on 20 Oct 2025
KUCHING, 20 Oktober – Bersempena dengan sambutan Hari Deepavali, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, bersama isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd Sanusi, menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada seluruh masyarakat beragama Hindu di Sarawak dan di seluruh negara.

Menurut TYT Tun Pehin Sri, perayaan yang turut dikenali sebagai Festival of Lights ini merupakan lambang keceriaan, keikhlasan dan harapan baharu yang diraikan dalam suasana penuh muhibah. Dalam semangat tersebut, beliau menyeru agar seluruh rakyat terus memperkukuh nilai-nilai murni seperti toleransi, saling menghormati dan muafakat, yang menjadi asas kepada keharmonian masyarakat majmuk di negeri ini.

“Masyarakat India, meskipun merupakan antara kaum minoriti di Sarawak, tetap memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri dan negara. Sumbangan mereka dalam bidang pendidikan, perkhidmatan awam, keusahawanan dan kebudayaan mencerminkan semangat kerja keras serta komitmen terhadap kemajuan bersama rakyat Sarawak,” ujar beliau.
TYT Tun Pehin Sri turut menegaskan bahawa sambutan ini harus menjadi wadah untuk memperkukuh perpaduan serta semangat hidup harmoni dalam kepelbagaian.

“Semoga masyarakat yang meraikan Hari Deepavali terus disinari cahaya kebahagiaan, kedamaian dan kesejahteraan, serta hidup dalam semangat perpaduan dan saling menghormati antara satu sama lain,” tambah beliau.
Selamat Menyambut Hari Deepavali.

Dikeluarkan: Astana Negeri Sarawak


Newspaper

Copyright © 2025 Astana Negeri Sarawak
Last Updated On 18 Mar 2026

Operating Hours

Monday - Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5:00pm

Friday
8:00am to 11.45am & 2:15pm to 5:00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Office Closed
image Polls
image Announcement