LCS ketiga TLDM dinamakan KD Sharif Mashor

Posted on 10 Feb 2026
Source of News: Buletin TV3

LUMUT: Kapal Tempur Pesisir (LCS) ketiga milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Sharif Mashor, dilancarkan dalam satu upacara penuh istiadat di limbungan Lumut Naval Shipyard (LUNAS) di sini, hari ini.

Upacara penamaan dan pelancaran kapal itu disempurnakan oleh Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dan dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Nama Sharif Mashor dipilih bagi menghormati tokoh sejarah yang pernah memerintah Sarikei pada pertengahan abad ke-19 dan dikenali atas keberanian serta kepimpinan dalam mempertahankan wilayah.

Beliau memainkan peranan penting dalam konflik serantau dan usaha penentangan pada zamannya, sekali gus meninggalkan legasi keazaman, ketahanan dan kebijaksanaan strategik.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, yang membacakan teks ucapan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kapal tempur pesisir ketiga ini merupakan kebanggaan negara kerana ia adalah kapal kelas frigat pertama yang dibina sepenuhnya oleh syarikat tempatan, Lumut Naval Shipyard Sdn. Bhd.

“Proses pembinaan kapal ini bermula dengan majlis perletakan lunas atau keel laying pada 29 November 2017 dan kini sedia dilancarkan.

“Kejayaan ini secara tidak langsung mencerminkan keupayaan anak-anak tempatan merealisasikan aspirasi negara untuk bersaing dalam industri berat dan industri pertahanan di peringkat global,” katanya.

Tambahnya, pelancaran Dasar Industri Pertahanan Negara baru-baru ini mempamerkan komitmen kerajaan untuk membangunkan industri pertahanan yang mampan melalui penguasaan teknologi, pemerkasaan bakat tempatan serta peningkatan kandungan tempatan dan kerjasama strategik, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara kepada pihak luar.

Turut hadir Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain.

Kapal-kapal kelas Maharaja Lela yang berasaskan reka bentuk korvet GOWIND oleh Naval Group, Perancis, merupakan kapal perang tercanggih TLDM dan direka untuk operasi maritim pelbagai dimensi.

LCS3 telah diluncurkan ke permukaan air secara teknikal di LUNAS pada 31 Januari 2026 bagi menjalani pengujian dan penyempurnaan sistem sebelum memasuki fasa operasi.

Sementara itu, LCS1 telah memulakan Pelayaran Laut Pertama pada 28 Januari 2026, sekali gus membuktikan kemajuan berstruktur Program LCS.



Newspaper

Copyright © 2025 Astana Negeri Sarawak
Last Updated On 11 Feb 2026

Operating Hours

Monday - Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5:00pm

Friday
8:00am to 11.45am & 2:15pm to 5:00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Office Closed
image Polls
image Announcement