TYT Sarawak & Isteri Santuni Anak Sarawak TLDM, Sempurnakan Hari Pertama Lawatan Rasmi Ke Lumut

Posted on 11 Feb 2026
Source of News: UKAS
PERAK: Hari pertama lawatan rasmi Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi ke Markas Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, di sini, pada Isnin, diserikan dengan Majlis Ramah Mesra bersama Anak-Anak Sarawak TLDM yang berlangsung di Dewan M. Sidek Shabudin.

Majlis berkenaan menjadi wadah interaksi antara TYT Sarawak dan isteri bersama warga TLDM asal Sarawak, yang sedang berkhidmat serta menetap di pangkalan tersebut, dalam suasana penuh mesra dan harmoni.

Dalam majlis sama, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah berkenan menyampaikan hadiah kepada 10 pelajar cemerlang, selain sumbangan kepada 10 orang pesakit kronik dalam kalangan mereka.

Turut serta ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak selaku Menteri Pengiring, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama isteri Datin Sri Zuraini Abdul Jaabar, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain bersama isteri Puan Sri Zamzelina Ahmad, Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Badarudin Taha bersama isteri Datin Noriah Sahlan dan Panglima Armada Barat Laksamana Madya Dato’ Baharudin Wan Md Nor bersama isteri Datin Shafiqah Ismail.

Suasana majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian oleh anggota TLDM, di samping jamuan makan tengah hari yang disediakan kepada para hadirin.

Sejurus selepas itu, TYT Sarawak serta isteri meneruskan lawatan ke Bangunan 102, Lumut Naval Shipyard (LUNAS).

Dalam lawatan tersebut, Pegawai Eksekutif LUNAS, Azhar Jumaat, telah berkongsi maklumat berkaitan proses pembinaan serta perkembangan semasa Kapal Tempur Pesisir (LCS), termasuk kemajuan projek Kapal Tempur Pesisir 3 (LCS 3) TLDM.

TYT Sarawak dan isteri kemudiannya berkenan mengunjungi galeri pameran bagi meninjau replika bersaiz besar Kapal Tempur Pesisir yang dihasilkan menggunakan permainan Lego, sebelum mengakhiri atur cara lawatan rasmi hari pertama.

Keesokan hari, Upacara Penamaan dan Pelancaran Kapal Tempur Pesisir 3 (LCS 3) TLDM dijadualkan berlangsung di Limbungan LUNAS yang akan disempurnakan oleh Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi selaku 'Lady Sponsor', disaksikan oleh Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi.

Terdahulu, lawatan rasmi tersebut dimulakan dengan upacara Kawalan Kehormatan Utama di Markas Armada Barat sebagai tanda penghormatan tertinggi kepada TYT Sarawak, sebelum berangkat ke Istana Hinggap Sultan Selangor (Jugra) bagi menyempurnakan acara menandatangani buku lawatan rasmi serta mendengar sesi taklimat operasi TLDM, disusuli tinjauan ke beberapa fasiliti utama di sekitar Pangkalan TLDM Lumut, termasuk kawasan operasi di Jeti Operasi Advanced Mission Support Ship (AMSS) dan Kapal KD Indera Sakti. -EDISI UKAS


Newspaper

Copyright © 2025 Astana Negeri Sarawak
Last Updated On 11 Feb 2026

Operating Hours

Monday - Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5:00pm

Friday
8:00am to 11.45am & 2:15pm to 5:00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Office Closed
image Polls
image Announcement