Sambutan Hari Lahir Peribadi TYT Sarawak Diraikan Meriah Di Atas Royal Cruise

Posted on 01 Feb 2026
Source of News: UKAS
KUCHING: Suasana meriah dan penuh kehangatan mewarnai Sambutan Hari Lahir Peribadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang diraikan menerusi majlis makan malam istimewa di atas Royal Cruise, Waterfront Kuching, pada Ahad.

Majlis makan malam istimewa itu diserikan dengan kehadiran Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar serta tetamu kenamaan lain.

Sebaik Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah tiba kira-kira jam 8.30 malam, Royal Cruise mula menyusuri Sungai Sarawak sekali gus memberi peluang kepada para tetamu menikmati panorama indah bandar raya Kuching pada waktu malam.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa sebelum para tetamu menikmati jamuan makan malam dalam suasana santai namun penuh beradat. Acara kemuncak diserikan dengan upacara memotong kek sempena hari lahir Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi.

Turut dipersembahkan ialah tayangan video khas yang mengimbau perjalanan kehidupan serta sumbangan Yang di-Pertua Negeri Sarawak kepada negeri dan rakyat sepanjang perkhidmatan baginda.

Selain itu, persembahan sajak istimewa oleh Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi turut menyentuh perasaan dan mencuit emosi para tetamu yang hadirnsekali gus menambah kehangatan suasana majlis.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar sebelum Yang di-Pertua Negeri Sarawak bersama isteri berangkat meninggalkan majlis.- EDISI UKAS


Newspaper

Copyright © 2025 Astana Negeri Sarawak
Last Updated On 11 Feb 2026

Operating Hours

Monday - Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5:00pm

Friday
8:00am to 11.45am & 2:15pm to 5:00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Office Closed
image Polls
image Announcement