News

 

Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-78 TYT pada 10-13 Oktober dengan tujuh acara utama

Posted on 30 Sep 2024
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-78 Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan diadakan dari 10 hingga 13 Oktober di sini dengan tujuh acara utama. 

Menteri Bertanggungjawab sambutan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sambutan akan dimulakan dengan acara Majlis Kesyukuran pada 10 Oktober di Masjid Jamek Kuching diikuti Khutbah Khas pada 11 Oktober di melibatkan semua masjid di seluruh Sarawak. 

Pada sebelah malam 11 Oktober pula katanya, akan diadakan Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain bertempat di Hotel Riverside Majestic oleh Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR). 

“Acara kemuncak ialah Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa pada 12 Oktober di Padang Merdeka, Kuching bermula pada jam 8 pagi. 

“Selain Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa akan diadakan Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak di Astana Negeri pada jam 11.30 pagi. 

“Pada sebelah malam pula akan diadakan Majlis Jamuan Negeri di Dewan Santapan DUN Sarawak serta Majlis Jamuan Teh pada 13 Oktober di Hotel Riverside Majestic Kuching,” katanya pada sidang media berhubung sambutan tersebut, hari ini. 

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan menambah, Majlis Seni Sarawak (MSS) selaku agensi peneraju bagi acara itu telah menyusun pelbagai persembahan merangkumi persembahan pembukaan, persembahan kebudayaan dan persembahan artis popular. 

Persembahan pembukaan disertai 50 orang pelajar dari Kelas Bimbingan Seni di bawah seliaan MSS dengan membawa lagu Dirgahayu oleh Faizal Tahir dan Dayang Nurfaizah. 

Manakala, persembahan kebudayaan menampilkan tarian rampaian etnik kreatif yang bakal dipersembahkan oleh 100 murid Kelas Bimbangan Seni di bawah seliaan MSS.

Persembahan artis popular pula akan menampilkan penyanyi terkenal Malaysia Dayang Nurfaizah dan Bob Yusof yang juga anak Sarawak. 

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang antara tetamu kehormat yang akan hadir. 

Oleh: Agnes Tutong



Newspaper