TYT dan isteri serikan Karnival Baca Perdana dan Pesta Buku Sarawak 2025

Posted on 02 Oct 2025
Source of News: Utusan Borneo

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menyerikan Karnival Baca Perdana dan Pesta Buku Sarawak 2025 yang diadakan di The Hills di sini, hari ini.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), kehadiran Tun Wan Junaidi dan isteri telah disambut oleh tetamu kehormat yang turut hadir pada majlis tersebut.

Hadir menyambut ketibaan beliau ialah Timbalan Menteri Perpaduan Negara Saraswaty Kandasamy, Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen, Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak Japri Bujang Masli serta dif kenamaan lain.

Sejurus tiba ke majlis perasmian, Yang di-Pertua Negeri dan isteri disambut dengan persembahan 'Selamat Datang' dan turut menyaksikan persembahan Bicara Berirama.

Pada kemuncak majlis, Tun Wan Junaidi telah menyempurnakan simbolik perasmian dan seterusnya turut menyempurnakan pelancaran lapan buku baharu pada majlis tersebut.

Beliau bersama isteri turut berkesempatan menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Pengiktirafan Pembaca Aktif 2024 serta Anugerah Pemenang Pertandingan Bicara Berirama sebelum bergerak untuk melakukan lawatan ke reruai pameran.

Pesta Buku Sarawak 2025 berobjektif menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda di samping meningkatkan akses kepada bahan bacaan berkualiti dengan harga mampu milik.

Sempena pesta tersebut, ia juga meraikan penganjuran Karnival Baca Perdana anjuran Perpustakaan Negara Malaysia yang memilih Sarawak sebagai destinasi utama tahun ini terutama negeri ini yang menjadi lambang keharmonian masyarakat majmuk yang kaya dengan tradisi kesusasteraan lisan, pendidikan dan kebudayaan.

Tahun ini, Pesta Buku Sarawak 2025 disertai 32 pempamer dari dalam dan luar negara yang berlangsung sejak 27 September lepas dan berakhir pada 5 Oktober kelak.

Sepanjang sembilan hari penganjuran, pelbagai program dan aktiviti menarik telah dirancang termasuk jualan buku besar-besaran oleh Big Bad Wolf, sesi perkongsian ilmu, wacana, bengkel, sesi 'meet and greet' bersama penulis dan aktiviti komuniti untuk seisi keluarga.



Newspaper

Copyright © 2025 Astana Negeri Sarawak
Last Updated On 02 Oct 2025

Operating Hours

Monday - Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5:00pm

Friday
8:00am to 11.45am & 2:15pm to 5:00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Office Closed
image Polls
image Announcement