Tun Wan Junaidi Terima Kunjungan Hormat Pejabat Ombudsman Sarawak

Posted on 14 Jan 2026
Source of News: Suara Sarawak

KUCHING: Pejabat Ombudsman Sarawak akan memberi tumpuan kepada peluasan jangkauan dan kesedaran awam di seluruh negeri, serta pemantapan sistem pengurusan aduan dan proses penyiasatan yang lebih berkesan menerusi pelaksanaan program utamanya bagi 2026.

Perkara tersebut dimaklumkan semasa kunjungan hormat Pejabat Ombudsman Sarawak kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di kediaman rasmi beliau, di sini, hari ini.

Kunjungan tersebut diketuai oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya bagi memaklumkan peranan serta perkembangan Pejabat Ombudsman Sarawak yang ditubuhkan sebagai sebuah institusi pengawasan bebas di bawah Ordinan Ombudsman Sarawak, 2023.

Dalam sesi taklimat itu, Tun Wan Junaidi dimaklumkan bahawa Pejabat Ombudsman Sarawak diberi mandat untuk menangani isu salah tadbir, meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam serta mempromosikan prinsip keadilan, ketelusan dan integriti dalam sektor awam.

Selain itu, penekanan turut diberikan kepada pelaksanaan latihan profesional berstruktur bagi meningkatkan kepakaran kakitangan, pengukuhan libat urus serantau dan antarabangsa sebagai usaha menyokong tadbir urus yang lebih berkesan dan berpaksikan rakyat di Sarawak.

Delegasi turut berkongsi pencapaian utama sepanjang 2025 yang memberi tumpuan kepada pembangunan institusi, libat urus bersama dengan pihak berkepentingan serta pembinaan kapasiti organisasi.

Antara inisiatif utama yang telah dilaksanakan termasuk penganjuran sesi Town Hall bersama-sama agensi perkhidmatan awam, penganjuran Hari Ombudsman Sarawak 2025 serta lawatan kerja antarabangsa ke Sweden, United Kingdom dan Australia bagi mempelajari amalan terbaik dalam pengendalian aduan dan penyiasatan.

Tun Wan Junaidi dalam pada itu turut diperkenalkan kepada pegawai-pegawai baharu Pejabat Ombudsman Sarawak termasuk Timbalan Ketua Ombudsman Sarawak yang menjalankan tugas Ketua Ombudsman Sarawak, Alexander Unya Ambon, Ombudsman Albert Tang Yew Liong dan Ombudsman Toieyah Tioh.



Newspaper

Copyright © 2025 Astana Negeri Sarawak
Last Updated On 15 Jan 2026

Operating Hours

Monday - Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5:00pm

Friday
8:00am to 11.45am & 2:15pm to 5:00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Office Closed
image Polls
image Announcement