KUCHING, 9 Januari – Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Bin Tuanku Jaafar dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Binti Mohd. Sanusi, hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi Sarawak Research & Development Council (SRDC) di kediaman rasmi, Kasuma Resort, pada jam 10:00 pagi.
Delegasi tersebut diketuai oleh Ts. Dr. Peter Morin Nissom, Pengurus Besar SRDC merangkap Pengarah Urusan Sarawak Science Centre Sdn. Bhd., bersama Dr. Ivan Yap Kok Seng, Timbalan Pengurus Besar SRDC merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Infectious Disease Centre; Puan Yeo Lii Kheng, Ketua Projek Penyelidikan SRDC; dan Cik Vanessa Inja Anak Randie, Setiausaha Pejabat SRDC.
Kunjungan ini bertujuan untuk mempersembahkan peranan, tanggungjawab, serta strategi penyelidikan dan pembangunan SRDC kepada Tun Pehin Sri, selain memberi kemas kini mengenai perkembangan projek utama seperti Sarawak Science Centre dan Sarawak Infectious Disease Centre.
Tun Pehin Sri turut menyatakan keyakinannya terhadap usaha SRDC dalam memacu kemajuan penyelidikan dan pembangunan di Sarawak, khususnya dalam bidang sains, teknologi, dan kesihatan. Beliau berharap inisiatif ini akan memberikan manfaat besar kepada negeri dan rakyat Sarawak secara keseluruhan.
-TAMAT-
Foto: Astana Negeri Sarawak