Press Release, 02 May 2026
SEBUYAU, 2 Mei: Program Kembara D’Astana mencuri perhatian apabila Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hadir ke Majlis Wida’ Keberangkatan Haji di Masjid Al Muflihin, Sebuyau, malam ini. Majlis yang penuh makna tersebut menjadi simbol penghormatan dan doa kepada jemaah haji yang bakal berangkat menunaikan rukun Islam kelima. Program dimulakan dengan solat fardhu Maghrib yang diimamkan oleh Pegawai Agama Islam Bahagian Samarahan, Ustaz Bahrain Kawi bersama jemaah yang hadir. Selesai solat, bacaan surah Yasin berlangsung diikuti dengan tazkirah bertajuk ‘Mengejar Haji Mabrur’ yang disampaikan dengan penuh penghayatan. Tazkirah tersebut memberikan motivasi kepada jemaah yang bakal berangkat agar memperoleh haji mabrur dan diterima Allah. Acara penting dalam majlis tersebut adalah penyerahan cek berjumlah RM20,000 kepada pihak Masjid Al Muflihin sebagai tanda sokongan dan keprihatinan Tun Wan Junaidi dan isteri terhadap pembangunan masjid serta urusan ibadah haji di kawasan Sebuyau. Selepas solat Isyak, majlis diteruskan dengan program makan malam bersama masyarakat Sebuyau. Acara tersebut memberi ruang kepada masyarakat untuk berinteraksi dengan pemimpin sambil mengeratkan lagi tali silaturahim dalam suasana penuh keberkatan.-TVS
Press Release, 03 May 2026
SRI AMAN, 3 Mei: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi meneruskan lawatan Kembara D’Astana hari ini ke Lingga. Rombongan Tun Wan Junaidi berangkat menggunakan bot persiaran ‘Damai Princess’ dari R.C Fisheries Wharf Sebuyau menuju ke Jeti Nelayan Lingga. Ketibaan Tun Wan Junaidi dan isteri disambut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, ADUN Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, Penasihat Pejabat Premier Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, serta Residen Sri Aman, Mahra Salleh. Setibanya di Lingga, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah berangkat menghadari Majlis Penyerahan Manuskrip Lingga dan Majlis Makan Tengah Hari di Dewan Masjid Al-Hana. Tun Wan Junaidi dan isteri turut singgah di Pameran Mini Salasilah Lingga – Banting catatan Abang Salim Abang Ali dan Bahan Warisan Lingga – Banting. Dalam majlis yang sama, Tun Wan Junaidi menerima bahan warisan Banting Lingga yang diserahkan wakil waris, Mantan Temenggong, Bohari Abang Mohd Zain. Selesai jamuan makan tengah hari, Tun dan isteri menunaikan solat Zohor di Masjid Al-Hana. Selepas selesai program Kembara D’Astana di Lingga, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah dijangka berangkat kembali ke Kuching dari Jeti Nelayan Lingga. Kembara D’Astana ini menjadi platform untuk Tun Wan Junaidi menjejak kasih berjumpa dengan ahli keluarga yang ada di Triso, Sebuyau dan Lingga serta penduduk tempatan. – TVS
Press Release, 03 May 2026
SRI AMAN, 3 Mei: Sifat kepimpinan yang tinggi dan nilai kekeluargaan yang dimiliki Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jafaar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi terserlah melalui penganjuran Kembara D’Astana. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Zohor, program lawatan yang melibatkan kawasan Triso, Sebuyau dan Lingga itu sangat signifikan kepada TYT Sarawak kerana kesemua tempat itu mempunyai nilai sentimental dan sejarah tersendiri bagi dirinya. “Melalui program ini Tun Wan Junaidi dapat menjejak kasih dan berjumpa dengan ahli keluarganya yang masih menetap di Triso, Sebuyau dan Lingga. “Tun Wan Junaidi juga pernah menjadi Ahli Parlimen Batang Lupar selama 14 tahun dan ini membuktikan beliau merupakan seorang pemimpin yang sentiasa dipercayai rakyat dan banyak membawa pembangunan di kawasan luar bandar sebelum ini,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap di dalam Majlis Penyerahan Manuskrip Lingga dan Majlis Makan Tengah Hari bersama masyarakat Lingga hari ini. Turut hadir ADUN Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, Penasihat Pejabat Premier Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, serta Residen Sri Aman, Mahra Salleh. Dayang Noorazah menjelaskan, Kembara D’Astana juga memberi peluang kepada Tun Wan Junaidi dan isteri melihat sendiri landskap pembangunan dan lonjakan perubahan yang telah berlaku di kawasan Lingga hari ini, sekali gus beramah mesra dengan penduduk setempat yang teruja melihat sendiri Tun dan isteri. Selain itu, beliau turut memuji inisiatif Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak yang telah menganjurkan Pameran Mini Salasilah Lingga – Banting catatan Abang Salim Abang Ali dan Bahan Warisan Lingga – Banting bersempena majlis kali ini. “Di bawah kepimpinan Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Dr. Firdaus Abdullah, telah berjaya menjalankan kajian ini, seperti yang dapat kita lihat di pameran mini sebentar tadi,” jelasnya. Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut mengujungi pameran mini tersebut serta menerima penerangan daripada pihak UiTM Cawangan Sarawak. Dalam majlis itu, Tun Wan Junaidi telah menyerahkan replika cek sumbangan RM20,000 kepada Masjid Al-Hana. – TVS
Press Release, 02 May 2026
SEBUYAU, 2 Mei: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hari ini melawat Triso dan Sebuyau. Rombongan Tun Wan Junaidi berangkat menggunakan bot persiaran ‘Damai Princess’ dari Terminal Penumpang Kuching menuju ke Jeti Perikanan Triso. Ketibaan Tun Wan Junaidi dan isteri disambut Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Datuk Razaili Gapor dan Residen Betong, Datu Richard Michael Abunawas. Lawatan Kembara D’Astana bermula di Tanah Perkuburan Kampung Triso dan turut diselitkan bacaan tahlil ringkas serta bacaan doa arwah untuk Allahyarham Tun Anis Tuanku Bujang, Allahyarhamhamah Sharifah Ibon Tuanku Anis, Allahyarham Abang Sibo Abang Draup serta Allahyarham Abang Atep Abang Sibo. Seterusnya, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah berangkat meninjau tapak rumah lama (tempat kelahiran Tun) dan tapak telaga lama dan kemudian singgah di kediaman KK Awang Mos Sulaiman. Waktu tengah hari, Tun Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah bergerak ke Masjid Al-Muhajirin Kampung Triso bagi menunaikan Solat Fardu Zohor. Selesai solat, Tun Wan Junaidi dan isteri menghadiri majlis makan tengahari bersama ahli keluarga dan masyarakat Kampung Triso. Program lawatan Tun Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah diteruskan ke Sebuyau pada sebelah petang.-TVS
Press Release, 10 January 2026
KUCHING, 10 Januari – Kehadiran isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Fauziah Mohd. Sanusi, memeriahkan Majlis Perasmian Penutupan Pesta Bubur Pedas Sarawak 2026 di Metrocity Matang, Kuching hari ini. Program anjuran Koperasi Perkumpulan Wanita Sarawak Berhad (KOPERWANIS) dan Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) dengan kerjasama Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS) Universiti Teknologi MARA Cawangan Sarawak, bertujuan memartabatkan bubur pedas sebagai warisan kulinari ikonik negeri Sarawak. Toh Puan Fauziah turut meluangkan masa menyediakan bubur pedas dan beramah mesra bersama ahli KOPERWANIS serta peserta, mencerminkan keprihatinan beliau terhadap usaha memperkasa wanita dan ekonomi komuniti setempat. Penganjuran pesta itu bukan sahaja memelihara warisan makanan tradisional, malah menjadi platform memperkukuh jaringan usahawan wanita serta memperkasa peranan mereka dalam pembangunan sosioekonomi negeri. Para pelajar juga berpeluang memperoleh pengalaman dalam pengurusan komuniti, kerja lapangan, dan tanggungjawab sosial menerusi penglibatan dalam program berkenaan. Turut diadakan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan bumbu bubur pedas, pertandingan masakan tradisional, serta pertandingan mewarna untuk warga emas dan kanak-kanak. Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.
Press Release, 02 March 2026
Did You Know? Department of Statistics Malaysia (DOSM) will conduct the Economic Census 2026 (BE2026). BE2026 is the sixth economic census, implemented every five years since 2000. The census aims to collect comprehensive data covering all economic activities in the country, including the wholesale and retail trade sectors. The implementation of BE2026 also covers business establishments as well as non-profit organisations. The data collected will serve as a vital reference to support more effective and sustainable national development planning. For more information, please visit the official Facebook page of the Department of Statistics Malaysia or access through the links below: Introduction to BE2026 Implementation of BE2026 Operations Objectives of BE2026