Kembara D’Astana serlah sifat kepimpinan, nilai kekeluargaan TYT

Posted on 03 May 2026
Source of News: TVS

SRI AMAN, 3 Mei: Sifat kepimpinan yang tinggi dan nilai kekeluargaan yang dimiliki Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jafaar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi terserlah melalui penganjuran Kembara D’Astana.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Zohor, program lawatan yang melibatkan kawasan Triso, Sebuyau dan Lingga itu sangat signifikan kepada TYT Sarawak kerana kesemua tempat itu mempunyai nilai sentimental dan sejarah tersendiri bagi dirinya.

“Melalui program ini Tun Wan Junaidi dapat menjejak kasih dan berjumpa dengan ahli keluarganya yang masih menetap di Triso, Sebuyau dan Lingga.

“Tun Wan Junaidi juga pernah menjadi Ahli Parlimen Batang Lupar selama 14 tahun dan ini membuktikan beliau merupakan seorang pemimpin yang sentiasa dipercayai rakyat dan banyak membawa pembangunan di kawasan luar bandar sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di dalam Majlis Penyerahan Manuskrip Lingga dan Majlis Makan Tengah Hari bersama masyarakat Lingga hari ini.

Turut hadir ADUN Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, Penasihat Pejabat Premier Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, serta Residen Sri Aman, Mahra Salleh.

Dayang Noorazah menjelaskan, Kembara D’Astana juga memberi peluang kepada Tun Wan Junaidi dan isteri melihat sendiri landskap pembangunan dan lonjakan perubahan yang telah berlaku di kawasan Lingga hari ini, sekali gus beramah mesra dengan penduduk setempat yang teruja melihat sendiri Tun dan isteri.

Selain itu, beliau turut memuji inisiatif Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak yang telah menganjurkan Pameran Mini Salasilah Lingga – Banting catatan Abang Salim Abang Ali dan Bahan Warisan Lingga – Banting bersempena majlis kali ini.

“Di bawah kepimpinan Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Dr. Firdaus Abdullah, telah berjaya menjalankan kajian ini, seperti yang dapat kita lihat di pameran mini sebentar tadi,” jelasnya.

Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut mengujungi pameran mini tersebut serta menerima penerangan daripada pihak UiTM Cawangan Sarawak.

Dalam majlis itu, Tun Wan Junaidi telah menyerahkan replika cek sumbangan RM20,000 kepada Masjid Al-Hana. – TVS



Newspaper

Copyright © 2025 Astana Negeri Sarawak
Last Updated On 06 May 2026

Operating Hours

Monday - Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5:00pm

Friday
8:00am to 11.45am & 2:15pm to 5:00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Office Closed
image Polls
image Announcement