KUCHING: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, telah merakamkan ucapan tahniah sempena ulang tahun kelahiran ke-75 Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Premier Sarawak.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Astana Negeri Sarawak, TYT Tun dan Toh Puan turut menzahirkan doa agar Abang Abdul Rahman Zohari sentiasa berada dalam rahmat dan perlindungan Allah SWT, dikurniakan kesihatan tubuh badan serta kekuatan dan kebijaksanaan dalam meneruskan amanah memimpin negeri.
Ucapan tersebut turut disertai dengan penghargaan terhadap kepimpinan Premier Sarawak yang telah membawa banyak perubahan positif kepada negeri itu.
Di bawah pentadbiran beliau, negeri ini terus mencatat kemajuan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, infrastruktur, pendidikan, serta teknologi hijau dan digital.
TYT Tun dan Toh Puan menyifatkan kepimpinan Premier Sarawak sebagai tegas namun inklusif, berteraskan semangat kebersamaan dan kemajuan untuk semua lapisan rakyat.
Usaha gigih beliau dalam memperkukuh kedudukan Sarawak dalam Persekutuan menerusi perjuangan berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) turut diberi perhatian tinggi oleh pelbagai pihak.
Mengakhiri ucapan, TYT Tun Pehin Sri dan Toh Puan menyatakan harapan agar Premier Sarawak terus diberi kekuatan dan petunjuk dalam menerajui Sarawak ke arah negeri maju, sejahtera dan bersatu padu demi manfaat generasi kini dan masa depan.
Press Release, 11 October 2025
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bukan sahaja Ketua wilayah tetapi juga lambang perpaduan bagi seluruh rakyat pelbagai kaum dan agama di Sarawak. Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Tun Wan Junaidi merupakan tokoh penyatu yang unggul dan figura kebapaan kepada seluruh rakyat Sarawak tanpa mengira kaum dan agama. “Semasa beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dari tahun 2015 hingga 2018, beliau telah membantu dalam pembinaan kuil dan gereja di kawasannya. (Dan) pada 4 Mac tahun ini, beliau telah menjemput semua ketua agama ke Majlis Bersungkei bersama Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi Tahun 2025 yang berlangsung di Astana Negeri Sarawak. “Seterusnya, pada 31 Mac 2025, Tun telah menerima kunjungan delegasi daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bersama Ketua-Ketua Agama Lain semasa Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri beliau yang turut diadakan di Astana Negeri Sarawak,” katanya memetik dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS). Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Kesyukuran Agama-agama Lain sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-79 Yang di-Pertua Negeri Sarawak di sini, malam Jumaat. Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi turut hadir dalam majlis yang menghimpunkan masyarakat berbilang kaum, menyerlahkan perpaduan rakyat di Sarawak. Menurut Abang Johari, usaha ini mencerminkan keprihatinan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi untuk menyantuni rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat di seluruh Sarawak. Tambah beliau, sikap kesederhanaan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah amat terserlah apabila tanpa segan mengunjungi pasar-pasar dan menikmati sarapan di kopitiam Cina untuk beramah mesra dengan rakyat biasa. “Beliau menunjukkan sifat rendah diri yang tinggi walaupun memegang jawatan tertinggi dan respons daripada rakyat mengenai sikap baik hati beliau amat positif dan mengagumkan,” tambah beliau lagi. Majlis pada malam itu menyaksikan ketua-ketua agama yang terdiri daripada Agama Hindu, Agama Sikh, Agama Tao, Agama Buddhist, Agama Kristian dan Agama Baha’i menitipkan doa mengikut kepercayaan masing-masing kepada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi khususnya, serta kemakmuran Sarawak secara amnya. Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Perayaan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Barisan Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Pengarah UNIFOR Dato Georgina Apphia Ngau, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Agama serta dif kenamaan yang lain.
Press Release, 13 October 2025
PERJUANGAN Sarawak untuk mengembalikan hak-hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak mungkin sampai ke tahap sekarang tanpa keberanian dan ketegasan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Ia khususnya kejayaan beliau ketika menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan UndangUndang), dengan majoriti lebih dua pertiga untuk kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) yang meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan MA63 di Dewan Rakyat pada 14 Disember 2021 seterusnya diwartakan pada 11 Februari 2022. Dengan itu, segala hak serta tuntutan Sarawak dan Sabah menjadi sebahagian Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak termasuk Kerajaan Persekutuan. Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pendirian, disiplin dan ketegasan Tun Wan Junaidi menjadi pemangkin utama perubahan besar berkaitan MA63, memperbetul semula hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan wilayah di Borneo. “Tun Wan Junaidi bukan sekadar simbol negeri. Beliau pejuang yang berani memperjuangkan hak Sarawak ketika berada dalam Kabinet Persekutuan. Ketegasan dan keberanian beliau menjadi asas kukuh kepada kejayaan kita hari ini. Komitmen beliau memberi kekuatan kepada kita melangkah lebih jauh memastikan hak-hak Sarawak dipertahan serta dilaksanakan dengan adil,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching. Pindaan itu menyaksikan MA63 diletakkan setaraf dengan Perjanjian Persekutuan 1948 dan Perjanjian Persekutuan 1957. Dengan itu, kerajaan kini boleh merujuk kepada semua janji yang dibuat pada 1963 secara terperinci dan dinyatakan dalam laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang merupakan kajian mendalam Laporan Suruhanjaya Cobbold mengenai tuntutan Sabah dan Sarawak. Kejayaan itu memberi pengiktirafan kepada tuntutan dan status istimewa Sarawak dan Sabah apabila membentuk Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan. Pindaan dilulus setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 200 ahli parlimen menyokong, manakala 20 orang tidak hadir bagi bacaan kali kedua, seterusnya mendapat sokongan 199 ahli parlimen dengan 21 orang tidak hadir pada undi belah bahagian untuk bacaan kali ketiga. Menurut Anwar, Tun Wan Junaidi tidak pernah berganjak daripada prinsip memperjuangkan hak Sarawak. Sikap konsisten itu membawa kejayaan dan menjadi asas kukuh memperbetul serta menyeimbangkan semula hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri. Beliau bukan sahaja memahami sejarah negeri, malah berani memperjuangkannya di peringkat tertinggi. Komitmen beliau memberi kekuatan kepada kita untuk melangkah lebih jauh memastikan hak-hak Sarawak terus dipertahan dan dilaksanakan dengan adil. “Peranan beliau sebagai pendesak tuntutan MA63 dari dalam ketika menjawat jawatan menteri dalam Kerajaan Persekutuan dahulu amat penting dan kini diteruskan dalam kapasiti beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak,” katanya.
Press Release, 13 October 2025
KUCHING: Kerajaan Sarawak menzahirkan penghargaan terhadap segala pengorbanan dan perjuangan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam memperjuangkan hak serta kedaulatan negeri. Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Tun Wan Junaidi merupakan anak jati Sarawak yang telah menabur jasa besar kepada negeri ini. “Dari awal penglibatan dalam pasukan keselamatan, Tun Wan Junadi telah memainkan peranan yang penting dalam mempertahankan Sarawak. “Malah, pada era ini, Tun Wan Junaidi sekali lagi tampil di barisan hadapan dalam perjuangan demi Sarawak Ibu Pertiwi untuk mempertahankan status Sarawak sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). “Bagi pihak rakyat jelata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala pengorbanan dan perjuangan Tun Wan Junaidi dalam memastikan Sarawak terus dihormati dalam Malaysia serta memiliki hak dan kedaulatan tersendiri,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Hari Lahir Ke-79 Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Padang Merdeka di sini, hari ini. Abang Johari menambah, pelantikan Tun Wan Junaidi sebagai Ketua Negeri mencerminkan kecekalan dan kebijaksanaan kepimpinan beliau dalam memastikan maruah dan kedaulatan Sarawak kekal terpelihara dalam sistem pemerintahan berasaskan konsep federalisme. “Justeru, sempena hari yang cukup bermakna ini kepada Sarawak, saya dan rakyat sekalian berdoa agar Tun Wan Junaidi dan isteri, Toh Puan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, terus dikurniakan kesihatan yang baik, umur yang panjang serta menjadi payung perpaduan kepada seluruh rakyat Bumi Kenyalang,” katanya. Menurut Abang Johari, sambutan Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang diadakan setiap tahun adalah tanda penghormatan dan pengiktirafan terhadap peranan besar Ketua Negeri sebagai lambang perpaduan, kestabilan dan kedaulatan negeri. “Semua rakyat Sarawak tanpa mengira bangsa, kaum, agama atau pegangan politik perlu menjunjung tinggi kedudukan dan peranan Yang di-Pertua Negeri sebagai kuasa penyatuan yang kukuh kerana itu tunjang kepada pembangunan dan keharmonian Sarawak selama ini,” jelasnya. Sementara itu, Abang Johari memaklumkan Sarawak telah berkembang maju dengan hala tuju yang jelas sejak Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerajui tampuk pentadbiran negeri ini. Katanya, ia diperkukuh lagi melalui perlaksanaan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) yang menitik beratkan pembangunan hijau, lestari dan berteraskan inovasi bagi mengangkat status Sarawak untuk menjadi sebuah wilayah maju berpendapatan tinggi menjelang 2030. Apatah lagi, ujar beliau, sejak tahun 2017, Sarawak telah membuktikan keupayaannya mencapai prestasi pembangunan yang memberangsangkan. “Hasil wilayah meningkat lebih dua kali ganda daripada RM6 bilion kepada RM14.2 bilion pada tahun lepas, sekali gus mencerminkan keberkesanan pengurusan fiskal dan ekonomi Sarawak. “Manakala bajet tahunan Sarawak berjumlah RM15.8 bilion pada tahun ini merupakan yang terbesar dalam sejarah kita. “Peningkatan hasil dan bajet ini membuktikan bahawa ekonomi Sarawak berada pada landasan kukuh serta berkeupayaan membiayai lebih banyak program pembangunan di seluruh Sarawak. (Dan) dengan kerjasama semua pihak, Insya-Allah, momentum pertumbuhan ini akan terus dikekalkan,” tegas beliau. Abang Johari berkata, pendapatan Sarawak yang terus meningkat ini dikembalikan semula kepada rakyat melalui pelaksanaan pelbagai projek pembangunan,khususnya dalam penyediaan infrastruktur, bekalan elektrik dan air bersih dan pembangunan bakat. Beliau dalam pada itu turut menegaskan kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh autonomi Sarawak dengan merangka dasar pembangunan mengikut keperluan semasa seperti ekonomi digital, tenaga hijau dan pembangunan modal insan selain memperkasa bidang penting seperti pendidikan dan kesihatan, selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). “Hasil perjuangan ini, Sarawak kini mempunyai kuasa kawal selia ke atas gas petroleum cecair (LPG), salah satu sumber penting dalam sektor tenaga. Melalui syarikat milik kerajaan, PETROS, kita kini berupaya menguruskan sumber tenaga sendiri. “Kita juga telah berjaya mengangkat Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) untuk diiktiraf sebagai jabatan teknikal, membolehkan pelaksanaan lebih banyak projek pembangunan sendiri tanpa terlalu bergantung kepada agensi persekutuan,” ujarnya. Sehubungan itu, Abang Johari yakin dengan pengembalian semula pelbagai autonomi tersebut, Sarawak akan terus memacu pembangunan inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Press Release, 13 October 2025
“TUN Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mempunyai hati yang besar dan gemar membantu orang. Jika tidak berpeluang berbuat demikian, beliau akan berasa terbeban hingga memikirkannya sepanjang malam.” “Malah, selepas bersara dan tidak lagi mempunyai pendapatan tetap, beliau tetap menghulurkan bantuan setiap kali ada yang datang meminta pertolongan,” kata Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, memulakan cerita tentang lelaki yang dipilih takdir untuk memikul gelaran Yang di-Pertua Negeri Sarawak. Beliau menggambarkan suaminya, sebagai seorang yang memandang dunia dengan tatapan yang tegas dan berdisiplin, namun di sisi lain, jiwanya lembut dan mudah tersentuh. “Tun sangat pemurah, tidak pernah kedekut dengan duit. Pemurah bukan hanya kepada keluarga, tetapi juga kepada sesiapa yang memerlukan. Gaji yang diterima, sebahagiannya akan diasingkan untuk mereka yang kurang bernasib baik. “Ada satu peristiwa masih saya ingat sehingga kini apabila ada ahli keluarga minta pertolongan sebanyak RM1,800 untuk persekolahan anaknya. Seperti biasa, Tun menyerahkan telefon bimbit kepada saya untuk melakukan pemindahan wang dalam talian,” katanya membuka cerita. HIDUP YANG SEDERHANA Saat membuka akaun bank suaminya, Toh Puan Fauziah, terkejut kerana baki simpanan yang tinggal hanya RM5,800. “Saya bertanya kepada Tun dan memaklumkan jumlah wangnya yang tinggal. Reaksi mukanya berkerut, bertanya ke mana perginya simpanan itu? Sedangkan beliau memang suka menghulur tanpa mengira sesiapa dan tempat. ”Namun, keputusan Tun tidak berubah. Beliau tetap menghulurkan bantuan dengan penuh keikhlasan. Walaupun jumlah yang diberi kurang sedikit daripada yang diminta,” ujarnya. Bahkan cerita Toh Puan Fauziah, contoh lain bagaimana suaminya begitu sering menderma apabila setiap pagi sebelum ke pasar, negarawan itu akan mencari wang kertas RM10, RM20 dan RM50. Bukan untuk membeli, tetapi untuk diberikan. Jika sifat pemurah mencerminkan hati Tun Wan Junaidi, maka disiplin adalah nafas hidupnya. Toh Puan Fauziah memberitahu suaminya sangat mementingkan ketepatan masa. “Jam 11.30 malam, mesti tidur. Jam 5.30 pagi, bangun untuk solat subuh. Selepas solat, beliau akan membalas setiap mesej WhatsApp satu per satu, kadang-kadang sehingga 70 mesej sehari sebelum bersarapan. “Disiplin itu sampai ke almari. Baju kemeja mesti disusun mengikut warna, semua menghadap ke depan; seluar mesti sehala. “Namun syukur itu bukan masalah bagi saya kerana ketika bekerja sebagai pramugari dahulu, saya juga berdisiplin. Lama-kelamaan saya belajar menyesuaikan diri dan akhirnya saya tahu apa-apa yang beliau suka dan tidak suka,” imbasnya. Ada humor yang halus dalam keterikatan itu. Sewaktu awal perkahwinan, Toh Puan Fauziah mengimbas bagaimana situasi ketika itu apabila beliau sendiri sudah berhenti kerja dan pada masa yang sama Tun Wan Junaidi pula sudah bersara. “Kami tiada pendapatan tetap sedangkan kos perbelanjaan bulanan Tun agak tinggi. Saya pernah berkata saya boleh kembali bekerja. “Tetapi Tun menjawab — tidak, you tidak boleh bekerja lagi. Perasaan bimbang membuat saya bertanya bagaimana dengan duit? “Tun tersenyum dan berkata, tidak pernah ada perempuan bertanya sama ada saya ada duit atau tidak,” ceritanya. I LOVE YOU Mengakui suaminya bukan seorang yang menzahirkan kasih sayang dengan perkataan, namun ia hadir melalui perbuatan. “Beliau jarang mengucapkan I love you tetapi kasihnya sentiasa jelas melalui perbuatan. Sebagai contoh pada hari ulang tahun perkahwinan Sharifah NongJasima. “Tun menekankan keluarga mesti diutamakan. Semua program pada hari itu mesti dibatalkan untuk kami bersama-sama meraikan ulang tahun perkahwinan mereka. “Begitu juga dengan tarikh penting seperti hari lahir, ulang tahun, semuanya sentiasa beliau catatkan dalam telefon. Tidak pernah lupa,” katanya. Mungkin daripada luaran, ramai yang melihat Tun Wan Junaidi sebagai pemimpin yang garang dengan tubuh tegap dan wajah yang serius. Namun untuk yang mengenalinya, mereka faham betapa besar hatinya. “Baginya, gelaran dan kejayaan politik hanyalah sebahagian kecil daripada diri. Yang lebih meninggalkan kesan ialah hati yang pemurah, disiplin yang tegas tetapi lembut serta perhatian yang tulus terhadap keluarga dan masyarakat,” ujarnya. Hidup sebagai suami isteri mengajar Toh Puan Fauziah tentang lakaran kasih yang tidak bersyarat, terus memberi meskipun baki tinggal sedikit, menjaga meskipun tidak diminta, menegur tanpa merendahkan, menyayangi tanpa perlu mengulang-ulang kata. “Hatinya mudah tersentuh. Saya melihat sendiri bagaimana setiap hari beliau mencari alasan untuk berbuat baik. Saya tahu, selagi terdaya beliau akan terus membantu. Begitulah Tun,” katanya lagi. Di mata orang ramai, Tun Wan Junaidi mungkin seorang negarawan, tetapi sebenarnya beliau lebih daripada itu. Beliau tidak menjanjikan bulan dan bintang. Namun memberikan yang diberi lebih bernilai — rasa dihargai, dilindungi dan disayangi dengan cara paling tulus. Dan, di situlah letak makna sebenar tajuk ini — pemimpin berjiwa besar. Luas kerana sentiasa ada ruang untuk orang lain, dalam wang ringgit yang diasingkan, dalam waktu yang dipenuhkan dalam hidup yang diluruskan oleh disiplin dan dilembutkan oleh kasih. Dan kita pun mengerti, ada pemimpin yang mengangkat negeri dengan pidato, ada juga yang mengangkatnya dengan tangan yang memberi dan hati yang tidak penat mencintai. Tun Wan Junaidi, dalam kedua-duanya, berdiri senyap, namun teguh mengalirkan makna Sarawak bukan hanya pada peta, tetapi pada jiwa.
Press Release, 12 October 2025
KUCHING: Alunan lagu klasik Melayu dan persembahan zapin mewarnai malam sambutan hari kelahiran ke-79 Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menyerlahkan warisan budaya negeri yang menjadi identiti rakyat negeri ini. Lebih daripada sekadar sambutan hari lahir, majlis yang berlangsung di DUN Sarawak malam tadi menjadi penghargaan terhadap perjalanan hidup seorang pemimpin yang gigih memperjuangkan hak negeri, menegakkan keadilan dan memperkukuh kedudukan Bumi Kenyalang di persada Malaysia, khususnya melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Ketibaan Tun Wan Junaidi dan isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi disambut Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama anakanda beliau, Dayang Norjihan. Malam itu dimulakan dengan persembahan lagu-lagu klasik Melayu seperti Rindu Lukisan, Wajahmu di Mana-Mana dan Sepanjang Jalan Kenangan. Gerak tari zapin oleh Majlis Seni Sarawak menambah dimensi budaya yang memikat, seolah-olah menceritakan kisah negeri dan rakyatnya melalui setiap langkah dan irama. Bacaan doa oleh Imam Besar Sarawak, Sahibul Fadhilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi, mengiringi majlis bagi memohon kesejahteraan dan keberkatan buat Yang di-Pertua Negeri, seorang tokoh yang dikenali kerana sifatnya yang merendah diri dan dedikasi tanpa henti kepada rakyat. Acara kemuncak apabila Tun Wan Junaidi memotong kek ulang tahun ke-79, diiringi nyanyian Allah Selamatkan Kamu. Tepukan gemuruh memenuhi dewan ketika tayangan video khas memaparkan perjalanan hidup beliau, daripada anak kampung kepada negarawan disegani yang meninggalkan legasi besar di Sarawak. Video itu turut menyorot jasa besar beliau dalam memperkukuh institusi kenegaraan, memperjuangkan hak Sarawak dan memartabatkan nilai integriti dalam pentadbiran awam — satu pengiktirafan kepada pemimpin yang berbakti sepenuh hati demi negeri. Kemeriahan diteruskan dengan persembahan artis tempatan seperti Bob Yusuf, Jali, Nur Hijrah Yahya dan Mal Imran yang mendendangkan lagu-lagu bertemakan kasih, perpaduan dan kebanggaan terhadap negeri, menambah kehangatan dan keseronokan malam itu. Menjelang penghujung majlis, langit Kuching bertukar gemerlapan dengan bunga api berwarna-warni, mencipta momen indah yang mengakhiri sambutan dalam suasana penuh hormat, makna dan kemeriahan, meninggalkan kenangan manis buat semua yang hadir.
Press Release, 11 October 2025
KUCHING, 11 Oktober – YBhg. Dato’ Sri Haji Syed Hamzah bin Syed Paie, Setiausaha Sulit Kanan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, bersama seluruh warga Astana Negeri Sarawak, dengan penuh takzim merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan Dirgahayu sempena Hari Lahir ke-79 kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar. Sempena ulang tahun kelahiran rasmi ini, YBhg. Dato' Sri Haji Syed Hamzah bin Syed Paie serta seluruh warga Astana menzahirkan penghargaan atas kepimpinan TYT Tun Pehin Sri sebagai Ketua Negeri Sarawak, yang menjadi simbol perpaduan dan kesejahteraan rakyat. Warga Astana turut mendoakan agar TYT Tun Pehin Sri sentiasa dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, kesejahteraan yang berkekalan, serta kebahagiaan bersama Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd Sanusi dan keluarga tercinta. Semoga di bawah naungan kepimpinan TYT Tun Pehin Sri serta iltizam dan kebijaksanaan Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, negeri Sarawak terus melangkah maju ke arah kemakmuran, kestabilan dan masa depan yang lebih gemilang. Dirgahayu, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar! -TAMAT- Dikeluarkan oleh: Astana Negeri Sarawak
Press Release, 01 October 2025
Please click HERE to to get the template for:
Press Release, 06 January 2025
Potret rasmi terbaharu Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Binti Mohd Sanusi akan mula diedar kepada umum bermula pada hari Isnin, 16 Disember 2024. Cetakan boleh diperoleh secara percuma di Unit Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam Pejabat Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Astana Negeri Sarawak. Manakala untuk jabatan-jabatan dan agensi kerajaan negeri, boleh mendapatkannya di Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS) di Tingkat 7, Bangunan Wisma Bapa Malaysia. Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, boleh hubungi talian 082-512514 atau mnfikriat@sarawak.gov.my. Terima kasih.
Press Release, 09 April 2025
The latest official portrait of Her Most Gracious Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd Sanusi will be made available to the public beginning Monday, 16 December 2024. Printed copies may be obtained free of charge from the Corporate Communications Unit, Office of the Yang di-Pertua Negeri Sarawak, located at the Astana Negeri Sarawak. For state government departments and agencies, copies may be collected from the Protocol, Ceremony and Event Management Unit of Sarawak (UPPANS) on Level 7, Wisma Bapa Malaysia. For further enquiries or additional information, please contact 082-512514 or email mnfikriat@sarawak.gov.my. Thank you.