Berani bersuara demi MA63

Posted on 13 Oct 2025
Source of News: Suara Sarawak

PERJUANGAN Sarawak untuk mengembalikan hak-hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak mungkin sampai ke tahap sekarang tanpa keberanian dan ketegasan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ia khususnya kejayaan beliau ketika menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan UndangUndang), dengan majoriti lebih dua pertiga untuk kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) yang meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan MA63 di Dewan Rakyat pada 14 Disember 2021 seterusnya diwartakan pada 11 Februari 2022.

Dengan itu, segala hak serta tuntutan Sarawak dan Sabah menjadi sebahagian Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak termasuk Kerajaan Persekutuan.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pendirian, disiplin dan ketegasan Tun Wan Junaidi menjadi pemangkin utama perubahan besar berkaitan MA63, memperbetul semula hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan wilayah di Borneo.

“Tun Wan Junaidi bukan sekadar simbol negeri. Beliau pejuang yang berani memperjuangkan hak Sarawak ketika berada dalam Kabinet Persekutuan.

Ketegasan dan keberanian beliau menjadi asas kukuh kepada kejayaan kita hari ini.

Komitmen beliau memberi kekuatan kepada kita melangkah lebih jauh memastikan hak-hak Sarawak dipertahan serta dilaksanakan dengan adil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching. Pindaan itu menyaksikan MA63 diletakkan setaraf dengan Perjanjian Persekutuan 1948 dan Perjanjian Persekutuan 1957.

Dengan itu, kerajaan kini boleh merujuk kepada semua janji yang dibuat pada 1963 secara terperinci dan dinyatakan dalam laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang merupakan kajian mendalam Laporan Suruhanjaya Cobbold mengenai tuntutan Sabah dan Sarawak.

Kejayaan itu memberi pengiktirafan kepada tuntutan dan status istimewa Sarawak dan Sabah apabila membentuk Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan dilulus setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 200 ahli parlimen menyokong, manakala 20 orang tidak hadir bagi bacaan kali kedua, seterusnya mendapat sokongan 199 ahli parlimen dengan 21 orang tidak hadir pada undi belah bahagian untuk bacaan kali ketiga.

Menurut Anwar, Tun Wan Junaidi tidak pernah berganjak daripada prinsip memperjuangkan hak Sarawak.

Sikap konsisten itu membawa kejayaan dan menjadi asas kukuh memperbetul serta menyeimbangkan semula hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.

Beliau bukan sahaja memahami sejarah negeri, malah berani memperjuangkannya di peringkat tertinggi.

Komitmen beliau memberi kekuatan kepada kita untuk melangkah lebih jauh memastikan hak-hak Sarawak terus dipertahan dan dilaksanakan dengan adil.

“Peranan beliau sebagai pendesak tuntutan MA63 dari dalam ketika menjawat jawatan menteri dalam Kerajaan Persekutuan dahulu amat penting dan kini diteruskan dalam kapasiti beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak,” katanya.



Newspaper

Copyright © 2025 Astana Negeri Sarawak
Last Updated On 16 Oct 2025

Operating Hours

Monday - Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5:00pm

Friday
8:00am to 11.45am & 2:15pm to 5:00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Office Closed
image Polls
image Announcement