Tun Wan Junaidi tokoh perpaduan rakyat Sarawak: Premier

Posted on 11 Oct 2025
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bukan sahaja Ketua wilayah tetapi juga lambang perpaduan bagi seluruh rakyat pelbagai kaum dan agama di Sarawak.

 Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Tun Wan Junaidi merupakan tokoh penyatu yang unggul dan figura kebapaan kepada seluruh rakyat Sarawak tanpa mengira kaum dan agama.

 “Semasa beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dari tahun 2015 hingga 2018, beliau telah membantu dalam pembinaan kuil dan gereja di kawasannya.

 (Dan) pada 4 Mac tahun ini, beliau telah menjemput semua ketua agama ke Majlis Bersungkei bersama Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi Tahun 2025 yang berlangsung di Astana Negeri Sarawak. 

 “Seterusnya, pada 31 Mac 2025, Tun telah menerima kunjungan delegasi daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bersama Ketua-Ketua Agama Lain semasa Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri beliau yang turut diadakan di Astana Negeri Sarawak,” katanya memetik dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

 Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Kesyukuran Agama-agama Lain sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-79 Yang di-Pertua Negeri Sarawak di sini, malam Jumaat.
 

Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi turut hadir dalam majlis yang menghimpunkan masyarakat berbilang kaum, menyerlahkan perpaduan rakyat di Sarawak. 

 Menurut Abang Johari, usaha ini mencerminkan keprihatinan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi untuk menyantuni rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat di seluruh Sarawak. 

 Tambah beliau, sikap kesederhanaan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah amat terserlah apabila tanpa segan mengunjungi pasar-pasar dan menikmati sarapan di kopitiam Cina untuk beramah mesra dengan rakyat biasa. 

 “Beliau menunjukkan sifat rendah diri yang tinggi walaupun memegang jawatan tertinggi dan respons daripada rakyat mengenai sikap baik hati beliau amat positif dan mengagumkan,” tambah beliau lagi. 

 Majlis pada malam itu menyaksikan ketua-ketua agama yang terdiri daripada Agama Hindu, Agama Sikh, Agama Tao, Agama Buddhist, Agama Kristian dan Agama Baha’i menitipkan doa mengikut kepercayaan masing-masing kepada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi khususnya, serta kemakmuran Sarawak secara amnya. 

 Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Perayaan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Barisan Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Pengarah UNIFOR Dato Georgina Apphia Ngau, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Agama serta dif kenamaan yang lain.



Newspaper

Copyright © 2025 Astana Negeri Sarawak
Last Updated On 16 Oct 2025

Operating Hours

Monday - Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5:00pm

Friday
8:00am to 11.45am & 2:15pm to 5:00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Office Closed
image Polls
image Announcement