Kerajaan Sarawak zahir penghargaan ke atas TYT

Posted on 13 Oct 2025
Source of News: Utusan Borneo

KUCHING: Kerajaan Sarawak menzahirkan penghargaan terhadap segala pengorbanan dan perjuangan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam memperjuangkan hak serta kedaulatan negeri.

 Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Tun Wan Junaidi merupakan anak jati Sarawak yang telah menabur jasa besar kepada negeri ini.

 “Dari awal penglibatan dalam pasukan keselamatan, Tun Wan Junadi telah memainkan peranan yang penting dalam mempertahankan Sarawak.

 “Malah, pada era ini, Tun Wan Junaidi sekali lagi tampil di barisan hadapan dalam perjuangan demi Sarawak Ibu Pertiwi untuk mempertahankan status Sarawak sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Bagi pihak rakyat jelata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala pengorbanan dan perjuangan Tun Wan Junaidi dalam memastikan Sarawak terus dihormati dalam Malaysia serta memiliki hak dan kedaulatan tersendiri,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Hari Lahir Ke-79 Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Padang Merdeka di sini, hari ini.

 Abang Johari menambah, pelantikan Tun Wan Junaidi sebagai Ketua Negeri mencerminkan kecekalan dan kebijaksanaan kepimpinan beliau dalam memastikan maruah dan kedaulatan Sarawak kekal terpelihara dalam sistem pemerintahan berasaskan konsep federalisme.

 “Justeru, sempena hari yang cukup bermakna ini kepada Sarawak, saya dan rakyat sekalian berdoa agar Tun Wan Junaidi dan isteri, Toh Puan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, terus dikurniakan kesihatan yang baik, umur yang panjang serta menjadi payung perpaduan kepada seluruh rakyat Bumi Kenyalang,” katanya.

 Menurut Abang Johari, sambutan Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang diadakan setiap tahun adalah tanda penghormatan dan pengiktirafan terhadap peranan besar Ketua Negeri sebagai lambang perpaduan, kestabilan dan kedaulatan negeri.

 “Semua rakyat Sarawak tanpa mengira bangsa, kaum, agama atau pegangan politik perlu menjunjung tinggi kedudukan dan peranan Yang di-Pertua Negeri sebagai kuasa penyatuan yang kukuh kerana itu tunjang kepada pembangunan dan keharmonian Sarawak selama ini,” jelasnya.

 Sementara itu, Abang Johari memaklumkan Sarawak telah berkembang maju dengan hala tuju yang jelas sejak Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerajui tampuk pentadbiran negeri ini.

 Katanya, ia diperkukuh lagi melalui perlaksanaan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) yang menitik beratkan pembangunan hijau, lestari dan berteraskan inovasi bagi mengangkat status Sarawak untuk menjadi sebuah wilayah maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

 Apatah lagi, ujar beliau, sejak tahun 2017, Sarawak telah membuktikan keupayaannya mencapai prestasi pembangunan yang memberangsangkan. 

 “Hasil wilayah meningkat lebih dua kali ganda daripada RM6 bilion kepada RM14.2 bilion pada tahun lepas, sekali gus mencerminkan keberkesanan pengurusan fiskal dan ekonomi Sarawak.

 “Manakala bajet tahunan Sarawak berjumlah RM15.8 bilion pada tahun ini merupakan yang terbesar dalam sejarah kita. 

 “Peningkatan hasil dan bajet ini membuktikan bahawa ekonomi Sarawak berada pada landasan kukuh serta berkeupayaan membiayai lebih banyak program pembangunan di seluruh Sarawak. (Dan) dengan kerjasama semua pihak, Insya-Allah, momentum pertumbuhan ini akan terus dikekalkan,” tegas beliau.

 Abang Johari berkata, pendapatan Sarawak yang terus meningkat ini dikembalikan semula kepada rakyat melalui pelaksanaan pelbagai projek pembangunan,khususnya dalam penyediaan infrastruktur, bekalan elektrik dan air bersih dan pembangunan bakat.

 Beliau dalam pada itu turut menegaskan kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh autonomi Sarawak dengan merangka dasar pembangunan mengikut keperluan semasa seperti ekonomi digital, tenaga hijau dan pembangunan modal insan selain memperkasa bidang penting seperti pendidikan dan kesihatan, selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

 “Hasil perjuangan ini, Sarawak kini mempunyai kuasa kawal selia ke atas gas petroleum cecair (LPG), salah satu sumber penting dalam sektor tenaga. Melalui syarikat milik kerajaan, PETROS, kita kini berupaya menguruskan sumber tenaga sendiri.

 “Kita juga telah berjaya mengangkat Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) untuk diiktiraf sebagai jabatan teknikal, membolehkan pelaksanaan lebih banyak projek pembangunan sendiri tanpa terlalu bergantung kepada agensi persekutuan,” ujarnya.

 Sehubungan itu, Abang Johari yakin dengan pengembalian semula pelbagai autonomi tersebut, Sarawak akan terus memacu pembangunan inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.



Newspaper

Copyright © 2025 Astana Negeri Sarawak
Last Updated On 16 Oct 2025

Operating Hours

Monday - Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5:00pm

Friday
8:00am to 11.45am & 2:15pm to 5:00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Office Closed
image Polls
image Announcement