Tun Wan Junaidi disanjung atas jasa pertahankan hak Sarawak

Posted on 12 Oct 2025
Source of News: Suara Sarawak

KUCHING: Alunan lagu klasik Melayu dan persembahan zapin mewarnai malam sambutan hari kelahiran ke-79 Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menyerlahkan warisan budaya negeri yang menjadi identiti rakyat negeri ini.

Lebih daripada sekadar sambutan hari lahir, majlis yang berlangsung di DUN Sarawak malam tadi menjadi penghargaan terhadap perjalanan hidup seorang pemimpin yang gigih memperjuangkan hak negeri, menegakkan keadilan dan memperkukuh kedudukan Bumi Kenyalang di persada Malaysia, khususnya melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
 

Ketibaan Tun Wan Junaidi dan isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi disambut Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama anakanda beliau, Dayang Norjihan.

Malam itu dimulakan dengan persembahan lagu-lagu klasik Melayu seperti Rindu Lukisan, Wajahmu di Mana-Mana dan Sepanjang Jalan Kenangan.
 

Gerak tari zapin oleh Majlis Seni Sarawak menambah dimensi budaya yang memikat, seolah-olah menceritakan kisah negeri dan rakyatnya melalui setiap langkah dan irama.

Bacaan doa oleh Imam Besar Sarawak, Sahibul Fadhilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi, mengiringi majlis bagi memohon kesejahteraan dan keberkatan buat Yang di-Pertua Negeri, seorang tokoh yang dikenali kerana sifatnya yang merendah diri dan dedikasi tanpa henti kepada rakyat.
 

Acara kemuncak apabila Tun Wan Junaidi memotong kek ulang tahun ke-79, diiringi nyanyian Allah Selamatkan Kamu.

Tepukan gemuruh memenuhi dewan ketika tayangan video khas memaparkan perjalanan hidup beliau, daripada anak kampung kepada negarawan disegani yang meninggalkan legasi besar di Sarawak.

Video itu turut menyorot jasa besar beliau dalam memperkukuh institusi kenegaraan, memperjuangkan hak Sarawak dan memartabatkan nilai integriti dalam pentadbiran awam — satu pengiktirafan kepada pemimpin yang berbakti sepenuh hati demi negeri.

Kemeriahan diteruskan dengan persembahan artis tempatan seperti Bob Yusuf, Jali, Nur Hijrah Yahya dan Mal Imran yang mendendangkan lagu-lagu bertemakan kasih, perpaduan dan kebanggaan terhadap negeri, menambah kehangatan dan keseronokan malam itu.

Menjelang penghujung majlis, langit Kuching bertukar gemerlapan dengan bunga api berwarna-warni, mencipta momen indah yang mengakhiri sambutan dalam suasana penuh hormat, makna dan kemeriahan, meninggalkan kenangan manis buat semua yang hadir.



Newspaper

Copyright © 2025 Astana Negeri Sarawak
Last Updated On 16 Oct 2025

Operating Hours

Monday - Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5:00pm

Friday
8:00am to 11.45am & 2:15pm to 5:00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Office Closed
image Polls
image Announcement