Pemimpin berjiwa besar

Posted on 13 Oct 2025
Source of News: Suara Sarawak

“TUN Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mempunyai hati yang besar dan gemar membantu orang.

Jika tidak berpeluang berbuat demikian, beliau akan berasa terbeban hingga memikirkannya sepanjang malam.”

“Malah, selepas bersara dan tidak lagi mempunyai pendapatan tetap, beliau tetap menghulurkan bantuan setiap kali ada yang datang meminta pertolongan,” kata Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, memulakan cerita tentang lelaki yang dipilih takdir untuk memikul gelaran Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Beliau menggambarkan suaminya, sebagai seorang yang memandang dunia dengan tatapan yang tegas dan berdisiplin, namun di sisi lain, jiwanya lembut dan mudah tersentuh.

“Tun sangat pemurah, tidak pernah kedekut dengan duit.

Pemurah bukan hanya kepada keluarga, tetapi juga kepada sesiapa yang memerlukan.

Gaji yang diterima, sebahagiannya akan diasingkan untuk mereka yang kurang bernasib baik.

“Ada satu peristiwa masih saya ingat sehingga kini apabila ada ahli keluarga minta pertolongan sebanyak RM1,800 untuk persekolahan anaknya.

Seperti biasa, Tun menyerahkan telefon bimbit kepada saya untuk melakukan pemindahan wang dalam talian,” katanya membuka cerita.

HIDUP YANG SEDERHANA

Saat membuka akaun bank suaminya, Toh Puan Fauziah, terkejut kerana baki simpanan yang tinggal hanya RM5,800.

“Saya bertanya kepada Tun dan memaklumkan jumlah wangnya yang tinggal.

Reaksi mukanya berkerut, bertanya ke mana perginya simpanan itu?

Sedangkan beliau memang suka menghulur tanpa mengira sesiapa dan tempat. 

”Namun, keputusan Tun tidak berubah.

Beliau tetap menghulurkan bantuan dengan penuh keikhlasan.

Walaupun jumlah yang diberi kurang sedikit daripada yang diminta,” ujarnya.

Bahkan cerita Toh Puan Fauziah, contoh lain bagaimana suaminya begitu sering menderma apabila setiap pagi sebelum ke pasar, negarawan itu akan mencari wang kertas RM10, RM20 dan RM50.

Bukan untuk membeli, tetapi untuk diberikan.

Jika sifat pemurah mencerminkan hati Tun Wan Junaidi, maka disiplin adalah nafas hidupnya.

Toh Puan Fauziah memberitahu suaminya sangat mementingkan ketepatan masa.

“Jam 11.30 malam, mesti tidur.

Jam 5.30 pagi, bangun untuk solat subuh.

Selepas solat, beliau akan membalas setiap mesej WhatsApp satu per satu, kadang-kadang sehingga 70 mesej sehari sebelum bersarapan. 

“Disiplin itu sampai ke almari.

Baju kemeja mesti disusun mengikut warna, semua menghadap ke depan; seluar mesti sehala.

“Namun syukur itu bukan masalah bagi saya kerana ketika bekerja sebagai pramugari dahulu, saya juga berdisiplin.

Lama-kelamaan saya belajar menyesuaikan diri dan akhirnya saya tahu apa-apa yang beliau suka dan tidak suka,” imbasnya.

Ada humor yang halus dalam keterikatan itu.

Sewaktu awal perkahwinan, Toh Puan Fauziah mengimbas bagaimana situasi ketika itu apabila beliau sendiri sudah berhenti kerja dan pada masa yang sama Tun Wan Junaidi pula sudah bersara.

“Kami tiada pendapatan tetap sedangkan kos perbelanjaan bulanan Tun agak tinggi.

Saya pernah berkata saya boleh kembali bekerja.

“Tetapi Tun menjawab — tidak, you tidak boleh bekerja lagi.

Perasaan bimbang membuat saya bertanya bagaimana dengan duit?

“Tun tersenyum dan berkata, tidak pernah ada perempuan bertanya sama ada saya ada duit atau tidak,” ceritanya.

I LOVE YOU

Mengakui suaminya bukan seorang yang menzahirkan kasih sayang dengan perkataan, namun ia hadir melalui perbuatan.

“Beliau jarang mengucapkan I love you tetapi kasihnya sentiasa jelas melalui perbuatan.

Sebagai contoh pada hari ulang tahun perkahwinan Sharifah NongJasima.

“Tun menekankan keluarga mesti diutamakan.

Semua program pada hari itu mesti dibatalkan untuk kami bersama-sama meraikan ulang tahun perkahwinan mereka.

“Begitu juga dengan tarikh penting seperti hari lahir, ulang tahun, semuanya sentiasa beliau catatkan dalam telefon.

Tidak pernah lupa,” katanya.

Mungkin daripada luaran, ramai yang melihat Tun Wan Junaidi sebagai pemimpin yang garang dengan tubuh tegap dan wajah yang serius.

Namun untuk yang mengenalinya, mereka faham betapa besar hatinya.

“Baginya, gelaran dan kejayaan politik hanyalah sebahagian kecil daripada diri.

Yang lebih meninggalkan kesan ialah hati yang pemurah, disiplin yang tegas tetapi lembut serta perhatian yang tulus terhadap keluarga dan masyarakat,” ujarnya.

Hidup sebagai suami isteri mengajar Toh Puan Fauziah tentang lakaran kasih yang tidak bersyarat, terus memberi meskipun baki tinggal sedikit, menjaga meskipun tidak diminta, menegur tanpa merendahkan, menyayangi tanpa perlu mengulang-ulang kata.

“Hatinya mudah tersentuh.

Saya melihat sendiri bagaimana setiap hari beliau mencari alasan untuk berbuat baik.

Saya tahu, selagi terdaya beliau akan terus membantu.

Begitulah Tun,” katanya lagi.

Di mata orang ramai, Tun Wan Junaidi mungkin seorang negarawan, tetapi sebenarnya beliau lebih daripada itu.

Beliau tidak menjanjikan bulan dan bintang.

Namun memberikan yang diberi lebih bernilai — rasa dihargai, dilindungi dan disayangi dengan cara paling tulus.

Dan, di situlah letak makna sebenar tajuk ini — pemimpin berjiwa besar.

Luas kerana sentiasa ada ruang untuk orang lain, dalam wang ringgit yang diasingkan, dalam waktu yang dipenuhkan dalam hidup yang diluruskan oleh disiplin dan dilembutkan oleh kasih.

Dan kita pun mengerti, ada pemimpin yang mengangkat negeri dengan pidato, ada juga yang mengangkatnya dengan tangan yang memberi dan hati yang tidak penat mencintai.

Tun Wan Junaidi, dalam kedua-duanya, berdiri senyap, namun teguh mengalirkan makna Sarawak bukan hanya pada peta, tetapi pada jiwa.



Newspaper

Copyright © 2025 Astana Negeri Sarawak
Last Updated On 16 Oct 2025

Operating Hours

Monday - Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5:00pm

Friday
8:00am to 11.45am & 2:15pm to 5:00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Office Closed
image Polls
image Announcement